NEWS

27th September 2025

MODENAS Perkasa Generasi Masa Depan Melalui “Kem Super Solat 2025”


Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pupuk disiplin, nilai murni dan semangat komuniti dalam kalangan kanak-kanak

Gurun, Malaysia, 27 September 2025 – Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), pengeluar motosikal nasional Malaysia dan ahli Kumpulan Syarikat DRB-HICOM, hari ini melalui Surau Al-Hidayah MODENAS telah menganjurkan Kem Super Solat 2025 di Learning Center MODENAS.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini menghimpunkan seramai 61 orang kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun, terdiri daripada anak-anak kakitangan MODENAS serta ahli komuniti setempat.

Kem ini telah dirasmikan oleh Puan Siti Zalina Saleh@Ahmad, Ketua Divisyen Modal Insan merangkap Penasihat Jawatankuasa Surau Al-Hidayah, yang menekankan peranan solat sebagai asas pembentukan disiplin dan akhlak.

“Solat bukan sekadar kewajipan — ia membentuk disiplin, fokus dan rasa hormat. Nilai-nilai ini akan membimbing anak-anak kita menjadi insan yang seimbang dan bertanggungjawab,” kata Puan Siti Zalina.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MODENAS, Kem Super Solat 2025 bertujuan memupuk kesedaran awal tentang kepentingan solat dalam kehidupan seharian di samping menanam amalan berterusan sejak kecil.

Selain bimbingan ibadah, program ini turut memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah, penerapan nilai-nilai murni serta motivasi rohani melalui aktiviti interaktif, permainan dan pembelajaran menyeronokkan.

Setiap peserta turut menerima Buku Modul Super Solat, T-shirt, alat tulis serta sijil penyertaan sebagai galakan untuk terus mengamalkan apa yang dipelajari.

“Melalui Kem Super Solat, kami mahu anak-anak melihat bahawa ibadah juga boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan serta menjadi sumber kekuatan dalam kehidupan seharian mereka,” ujar jurucakap Jawatankuasa Surau Al-Hidayah MODENAS.

Jawatankuasa Surau Al-Hidayah MODENAS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Ucapan terima kasih khusus ditujukan kepada Outreach Team Surau Al-Hidayah DRB-HICOM atas kerjasama yang diberikan sehingga program ini berjaya memberi manfaat kepada komuniti.

Untuk pertanyaan lanjut, sila layari laman sesawang rasmi MODENAS di  http://www.modenas.my/ atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 ataupun melalui WhatsApp Careline di +6019-5708135.


MODENAS

CHAT ASSISTANT

x