NEWS

KAWASAKI TAMBAH PEGANGAN DI MODENAS KE 30%

KAWASAKI TAMBAH PEGANGAN DI MODENAS KE 30%

May 8, 2019

SHAH ALAM, Jumaat, 26 April – DRB-HICOM Berhad (“DRB-HICOM”) telah memetrai perjanjian dengan Kawasaki Heavy Industries, Ltd (“KHI”) untuk menjual 14,300,00 unit saham biasa didalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (“MODENAS”). Dengan perjanjian ini, KHI yang telah pun memiliki 19% saham MODENAS akan meningkatkan ekuiti mereka ke 30%. Jualan saham tersebut adalah atas dasar persetujuan bersama antara pembeli dan penjual pada nilai RM40.3 juta.

KHI juga akan membeli 52,000,000 saham keutamaan boleh tukar (convertible preference shares, “CPS”) yang akan dikeluarkan oleh MODENAS. Apabila ditukar, pegangan ekuiti KHI didalam syarikat motosikal nasional tersebut akan meningkat ke 48%. CPS tersebut hanya akan ditukar tertakluk kepada MODENAS mencapai beberapa tanda aras yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan Kumpulan bagi DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar percaya struktur ekuiti baharu tersebut akan memberi manfaat kepada MODENAS.

“KHI telah memegang ekuiti didalam MODENAS sejak penubuhannya lagi. Ketika itu pun, produk mereka telah membantu MODENAS mencapai persada carta jualan di pasaran motosikal tempatan. Pegangan ekuiti yang lebih besar ini juga bererti KHI akan mengambil bahagian didalam operasi MODENAS, berbanding hanya sebagai pemegang saham. Saya yakin pengalaman dan kepakaran teknikal KHI akan membawa kepada suatu fasa produk yang lebih baik untuk pelanggan MODENAS, terutamanya didalam segmen street bike serta sports bike”, kata Syed Faisal.

KHI mula mengeluarkan motosikal Kawasaki pada tahun 1960, dan kini antara syarikat motosikal yang disegani di dunia. Produk mereka dihasilkan di beberapa kilang di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Filipina, India, Thailand dan Indonesia, selain di Jepun. Jenama Kawasaki juga mempunyai ramai peminat di Malaysia, sejak ia mula dipasarkan di sini dalam tahun 70-an, dan antara model popular mereka adalah Ninja, Versys dan GTR.

Syed Faisal berkata perhubungan sedia-ada dengan KHI akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dengan lebih berkesan untuk membangunkan produk bagi pasaran tempatan. Beliau juga berpendapat populariti produk utama Kawasaki di Malaysia akan membantu MODENAS.

“Kawasaki dan MODENAS bukan tidak mengenali sesama sendiri, maka sinergi antara kedua-dua kumpulan akan memastikan kerjasama dengan berkesan untuk membangunkan produk bagi pasaran domestik. Rakyat Malaysia telah lama menggemari produk dari Kawasaki, yang dikenali sebagai jenama global yang berkualiti dan mempunyai rekod yang kukuh di arena sukan bermotor”, tambah Syed Faisal.

Keupayaan Kawasaki di arena sukan bermotor tidak dapat dinafikan. Mereka mendominasi perlumbaan Grand Prix motosikal antara tahun 1978 sehingga 1982, selepas kemenangan pertama pada tahun 1969. Didalam Superbike World Championships, Kawasaki telah memenangi enam kejuaraan, termasuk empat kemenangan berturut-turut antara tahun 2015 dan 2018. Kawasaki juga mempunyai sembilan kejuaraan AMA Superbike Championship dan mendominasi segmen ini di awal tahun 1980-an melalui nama-nama seperti Wayne Rainey dan Eddie Lawson.

Kerjasama antara MODENAS dan KHI bermula dengan penubuhan syarikat motosikal nasional tersebut pada tahun 1995, dengan KHI memegang 19% ekuiti. Selain motosikal, MODENAS turut menghasilkan beberapa komponen untuk KHI.

Kilang MODENAS di Gurun, Kedah mempunyai keupayaan pengeluaran 130,000 unit setahun. Produk-produk awal MODENAS diasaskan kepada model-model Kawasaki, dan antara yang paling popular adalah model Jaguh, sebuah cruiser 125cc yang diambil dari model Kawasaki Eliminator 125. Model paling berjaya MODENAS di awal penubuhan mereka pula adalah Kriss 110, yang diasaskan kepada Kawasaki Kazer 110.

Author: