NEWS

Perkongsian Modenas-Bajaj langkah strategik yang tepat pada masa

Perkongsian Modenas-Bajaj langkah strategik yang tepat pada masa

May 14, 2017

KUALA LUMPUR: Perkongsian antara Motosikal Dan Enjin Nasional (Modenas) dan Bajaj Auto Limited (BAL) dari India adalah satu langkah yang strategik dan tepat pada masa dalam mengembangkan bahagian pasaran motosikal kecil pengeluar motosikal Malaysia itu dan juga bagi menembusi pasaran serantau.

Perkongsian Modenas dengan BAL, pengeluar kenderaan dua roda dan tiga roda keempat terbesar dunia dan sebuah syarikat terkemuka antarabangsa, akan mengukuhkan lagi jenama Modenas dan membantu ia menguasai bahagian yang lebih besar dalam pasaran motosikal yang semakin berkembang pesat.

Modenas yang merupakan sebahagian daripada kumpulan syarikat DRB Hicom dilaporkan bekerjasama dengan BAL dalam satu langkah yang dianggap para penganalisis akan dapat mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengeluar motosikal.

Satu manfaat besar daripada perkongsian itu adalah membolehkan syarikat tersebut mengeksploitasikan sepenuhnya pasaran tempatan yang sedang berkembang dan juga permintaan tinggi pasaran ASEAN terhadap kenderaan dua roda yang akan menambah sumber pendapatan bagi bahagian automotif kumpulan DRB.

Permintaan terhadap motosikal di Malaysia terus meningkat disebabkan harganya yang mampu dimiliki dan begitu juga di ASEAN, justeru perkongsian itu dianggap sebagai langkah yang tepat pada masa.

Perkembangan ekonomi berserta dengan pertumbuhan penduduk memastikan jualan yang baik bagi motosikal Modenas-Bajaj di negara-negara Asia Tenggara.

BAL adalah rakan kongsi ideal bagi Modenas kerana motosikal telah terbukti sebagai kenderaan yang tahan lasak, boleh dipercayai dengan harga yang mampu milik, malahan ia sering diberi jolokan sebagai ”Land Rover beroda dua.”

BAL merupakan pengeluar motosikal keenam terbesar dunia dan kedua terbesar di India. Ia menjual motosikal, skuter dan beca.

Jenama Bajaj terkenal di beberapa negara di Amerika Latin, Afrika, Asia Barat dan Asia Tenggara.

BAL adalah sebahagian daripada Bajaj Group, yang merupakan antara 10 kumpulan perniagaan utama di India.

Ia terlibat dalam pelbagai industri, merangkumi automobil (pengeluar kenderaan dua roda dan tiga roda), perkakas rumah, peralatan lampu, besi dan keluli, insurans, pelancongan dan kewangan.

Selain itu terdapat juga kesan limpahan daripada perkongsian tersebut. Peningkatan pengeluaran di kilang Modenas akan meningkatkan prospek pekerjaan kerana lebih ramai juruteknik dijangka diambil bekerja bagi memenuhi kapasiti pembuatan yang tinggi.

Ini sudah pastinya akan memberi manfaat kepada juruteknik tempatan yang baru menamatkan pengajian di kolej dan sekolah teknikal, yang bermakna peningkatan peluang pekerjaan bagi juruteknik untuk perkhidmatan motor memandangkan bilangan pengeluaran yang bertambah.

Selain itu, akan terdapat limpahan pertumbuhan bagi pembekal alat-alat ganti dalam rantaian bekalan vendor Modenas.

Justeru itu, perkongsian global seperti yang ditunjukkan menerusi kerjasama antara Modenas dan BAL adalah satu langkah yang sesuai.

Satu catatan blog auto di India – Indianautoblog.com pada 9 Mei melaporkan bahawa Bajaj Pulsar 200NS dan Bajaj Pulsar RS200 akan dilancarkan di Malaysia pada 19 Mei dalam usaha pengeluar kenderaan dua roda dan tiga roda India itu mengembangkan pasarannya di rantau ASEAN.

Blog auto India itu menyatakan motosikal pertama yang dijangka memasuki pasaran Malaysia ialah 200NS.

Datuk Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom pada April berkata “Kerjasama itu adalah sejajar dengan aspirasi kami untuk mengukuhkan Modenas secara keseluruhan dengan menawarkan pelbagai jenis motosikal kepada pelanggan.”

“Pasaran tempatan menerima dengan baik usaha sama Modenas dengan Kymco dalam segmen skuter, dan syarikat itu bersedia untuk memulakan pasaran lebih agresif, iaitu segmen basikal jalan.

“Dengan Bajaj sebagai rakan kongsi kami, kami kini mempunyai segmen baharu yang kami boleh tawarkan kepada pelanggan,” beliau dipetik sebagai berkata sebelum ini.

Beliau berkata: “Tidak diragui BAL memiliki pengalaman dan pengetahuan teknologi bagi segmen ini. Model Bajaj yang kami rancang perkenalkan di Malaysia dalam beberapa bulan lagi telah terbukti cemerlang di peringkat antarabangsa dan kami percaya ia juga akan mendapat sambutan di Malaysia.”

BERNAMA

Author: